Syarat-syarat asas menerangkan pemohon tentang syarat asas pinjaman kerajaan berdasarkan pekeliling Lembaga Pembiayaan perumahan Sektor Awam (LPPSA). Pemohon dapat mengenalpasti jumlah kelayakan berdasarkan gaji hakiki/gaji pokok. Pemohon juga boleh mengetahui kelebihan melantik peguam berkelayakan untuk melancarkan memproses pinjaman kerajaan pemohon. Pemohon dapat mengira kelayakan pinjaman berdasarkan gaji hakiki. Pemohon dapat melihat syarat-syarat pinjaman berdasarkan jenis pinjaman yang ditawarkan.


Syarat-syarat Kelayakan

Pemohon hendaklah mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Lembaga seperti berikut:
A. SYARAT KELAYAKAN
Kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga diberikan kepada orang yang layak berdasarkan syarat-syarat kelayakan berikut:

  1. Anggota Perkhidmatan Awam/ Pasukan Polis/ Angkatan Tentera;
  2. Anggota Pentadbiran Persekutuan iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik;
  3. Anggota Pentadbiran Negeri iaitu Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Menteri Besar, Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
  4. Hakim Mahkamah Persekutuan/ Rayuan/ Tinggi tertakluk kepada Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45);
  5. Anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat;
  6. Yang Dipertua Dewan Rakyat;
  7. Anggota Dewan Undangan Negeri; dan
  8. Pekerja badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.

Orang yang layak, yang berhak memohon kemudahan pembiayaan perumahan daripada Kerajaan Negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan yang mempunyai skim pembiayaan perumahannya sendiri tidak layak mendapat kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam.

Pemohon layak untuk menikmati dua kali pembiayaan sama ada memilih SPPSA atau SPPSAi bagi pembiayaan pertama dan pembiayaan kedua tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan pembiayaan kedua dibenarkan dengan syarat pembiayaan pertama diselesaikan terlebih dahulu.

Pemohon yang telah mendapat kemudahan pembiayaan perumahan daripada Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan hanya layak mendapat kemudahan pembiayaan kedua di bawah skim ini tertakluk kepada syarat-syarat pembiayaan kedua.

Lembaga membenarkan permohonan pembiayaan bersama untuk membeli satu hartanah yang sama tertakluk kepada syarat-syarat pembiayaan semasa di antara:
i. suami dan isteri; atau
ii. bapa/ ibu dan anak/ anak-anak.

B. SYARAT PEMOHON

Pemohon mestilah:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Orang yang layak yang dinyatakan di perkara A1 dan A8 mestilah:
    a. Pegawai tetap yang sedang berkhidmat; dan
    b. Telah berkhidmat sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan telah disahkan dalam  jawatan.
  3. Orang yang layak yang dinyatakan di perkara  A2, A3, A4, A5, A6, dan A7 mestilah pegawai dalam tempoh lantikan dan sedang berkhidmat.
  4. Bukan seorang bankrap atau siberhutang hukuman atau seorang yang tidak berkemampuan kewangan atau sedang diambil tindakan tatatertib bagi tujuan buang kerja.